Jom-jom kita Main Klik..I Nang U..U Nang Me ok

Mari kita Tolong-Menolong dengan Klik Nuff

Saturday, August 22, 2009

Jangan Berpecah kerana Bilangan Rakaat

Terdapat perbezaan pendapat tentang hal ini. Masalah ini pun pada sesetengah keadaan sudah menjadi barah perpecahan umat Islam. Mengapa? Ini kerana masing-masing seolah-olah mendabik dada bahawa pendapatnya sahaja yang benar dan betul. Dalam mazhab empat iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali, jumlah rakaat solat Terawih ialah 20 rakaat. Dalil mereka ialah perbuatan para sahabat Nabi s.a.w.

Diberitakan bahawa umat Islam pada zaman Saidina Umar al-Khattab bersolat terawih sebanyak 20 rakaat. Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi s.a.w. solat pada bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat. Oleh kerana Umar al-Khattab adalah salah seorang Khulafa ar-rasyidin dan tidak ada pula mana-mana sahabat ketika itu yang membantah perbuatan Umar, maka menjadi ijmak sepakat bahawa memang solat terawih boleh dikerjakan 20 rakaat.

Pendapat kedua menyatakan rakaat solat sunat terawih adalah 36 rakaat. Inilah amalan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Inilah juga amalan penduduk Madinah al-Munawwarah.

Pendapat ketiga pula menyatakan ia hanya lapan rakaat. Pendapat ini bersandarkan kalam isteri Nabi Aishah r.a.: Nabi s.a.w. tidak pernah menambah pada bulan Ramadan atau bulan selain Ramadan lebih daripada 11 rakaat. (Riwayat Bukhari) Imam Abu Hanifah, seorang ulama hebat dan imam ikutan bagi umat Islam berkata mafhumnya: “Solat terawih adalah sunat muakkad. Dan Umar r.a. tidak melakukannya daripada dirinya sendiri, dan beliau bukan seorang ahli bidaah. Beliau tidak menyuruh melainkan ada asalnya di sisinya dan kefahaman daripada Nabi s.a.w..”

Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah, seorang ulama hebat yang selalu mengetuk pintu ijtihad dan komited terhadap pendapat yang mempunyai sandaran sunah, menyatakan, ‘Dan yang benarnya bahawa semua pendapat itu baik dan sesungguhnya ia tidak tertentu pada Qiyam Ramadan dengan bilangan tertentu. Dan Nabi s.a.w. tidak menentukan bilangannya. Imam Syaukani, seorang lagi ulama yang sealiran dengan Ibnu Taimiyyah juga menyatakan bahawa menentukan bilangan rakaat solat tarawih tidak mempunyai nas atau dalil daripada hadis Nabi s.a.w..

Pendapat-pendapat ini dinukilkan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillathu dalam juzuk kedua kitab tersebut ketika membicarakan persoalan solat-solat sunat. Apakah sepatutnya pendirian kita? Masing-masing ada dalil dan hujah.

Lapan rakaat atau 20 rakaat, kedua-duanya tidak berdosa. Apa yang salah dan berdosa ialah tuduh-menuduh, berkelahi dan berpecah-belah sesama umat Islam. Oleh itu, adalah baik kiranya umat Islam menghentikan polemik dan perbalahan tentang rakaat solat terawih. Tidak perlu ada kem 20 rakaat dan kem lapan rakaat. Kem 20 rakaat menuduh Kem 8 sebagai malas beribadat dan menyalahi sunah para sahabat. Kem 8 pula menuduh kem 20 sebagai melakukan bidaah kerana solat 20 rakaat. Yang pasti dan sabit adalah tidak ada nas dan dalil daripada Nabi s.a.w. tentang bilangan rakaat solat terawih.

Bagi menjaga kesejahteraan dan perpaduan umat, adalah baik jika kedua-dua pendapat ini diamalkan. Ada malam tertentu dibuat 20 rakaat. Ada malam yang lain dibuat sebaliknya. Tidak wajar ada tuduh-menuduh dan bidaah-membidaah kerana semua bilangan rakaat tersebut dilakukan oleh generasi awal Islam. Kalau malam ini rasanya badan sihat dan kuat, apa salahnya untuk membanyakkan solat sunat, maka solatlah 20 rakaat. Kalau rasa agak letih, apa salahnya diambil sedikit masa dan tenaga, maka bersolatlah lapan rakaat. Tuduhan bahawa solat terawih 20 rakaat sebagai bidaah adalah tuduhan yang melampau kerana ini menunjukkan para sahabat besar Nabi sendiri sepakat melakukan bidaah.

Berpegang kepada hadis Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. tidak solat lebih daripada sebelas rakaat sama ada bulan Ramadan atau bukan Ramadan juga kurang tepat. Ia hanya riwayat Aishah r.a.. Sesungguhnya tidak sabit dengan hadis sahih atau hadis daif bahawa Nabi s.a.w. menentukan bilangan rakaat terawih setakat lapan rakaat. Kalau masih juga wujud pertelingkahan dan perbezaan pendapat, maka amatlah wajar jika masjid dan surau ditutup sahaja selepas selesai solat Isyak. Tidak perlu lagi dibuat solat terawih. Kenapa pula begitu? Ini kerana terawih hukumnya sunat sahaja. Tidak ada satu dalil Quran dan sunah pun yang mewajibkan solat terawih. Sebab itu ia disebut sebagai solat sunat terawih.

Dari sudut yang lain, menjaga perpaduan adalah wajib dan fardu. Maka mendahulukan perkara wajib atas perkara sunat adalah fardu. Oleh itu, demi menjaga perpaduan, maka wajiblah dikorbankan perkara sunat iaitu terawih. Lajunya solat terawih macam kereta api elektrik Kebanyakan solat terawih di masjid dan surau dikerjakan dengan cepat malah seolah-olah tergesa-gesa. Ini adalah isu yang wajar diberi perhatian. Cara ini menyalahi sunah Nabi s.a.w.. Solat Nabi adalah indah, cantik dan anggun. Aishah r.a. ketika menceritakan solat malam Nabi s.a.w. berkata, Baginda solat empat rakaat. Maka jangan engkau tanya tentang keelokan dan panjangnya solat itu. (Riwayat Bukhari) Hadis ini menggambarkan bagaimana Nabi s.a.w. solat dengan tenang, elok dan bersungguh-sungguh. Oleh itu, untuk para imam solat dan umat Islam, bersolatlah dengan sederhana. Jangan terlalu panjang dan jangan terlalu cepat.

Diharap dua isu ini dapat diberi perhatian oleh umat Islam. Marilah kita semua meningkatkan darjah ketakwaan dengan terus beramal dengan sunah Nabi s.a.w. Polemik rakaat adalah polemik lapuk yang mesti dihentikan jika ia membawa perpecahan umat Islam.

~Umur Dunia Mungkin Panjang Lagi, Namun apa Yang pasti Umur Kita Takkan Sepanjang Umur Dunia.. Untuk Bina Duniamu Tempatnya Di Dunia, Untuk Bina Akhiratmu Tempatnya Jua Di Dunia..~


Friday, August 21, 2009

Kepalsuan Hadis Tentang Fadhilat Solat Tarawih

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya. SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali .a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Sayidina Ali Abi Talib ra. meriwayatkan sebuah Hadis (yang panjang) daripada Rasulullah s.a.w, iaitu jawapan baginda ketika ditanya oleh para sahabat mengenai fadhilat dan kelebihan solat Tarawih pada setiap malam di bulan Ramadhan.


Baginda bersabda bahawa:

Malam ke 1

Diampuni dosa-dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

Malam ke 2

Diampunkan dosa orang-orang yang beiiman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa- dosa kedua ibu bapanya.

Malam ke 3

Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malarnmalam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Malam ke 4

Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al- Quran.

Malam ke 5

Allah S.W.T akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang- orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam ke 6

Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

Malam ke 7

Seoalah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir'aun dan Hamman.

Malam ke 8

Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Malam ke 9

Allah S.W.T akan mengumiakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

Malam ke 10

Allah SWT mengurniakan kepada kebaikan dunia dan akhirat.

Malam ke 11

la meninggal dunia didalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

Malam ke 12

la akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

Malam ke 13

la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

Malam ke 14

Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

Malam ke 15

Semua malaikat yang memikul Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam ke 16

Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam ke 17

Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam ke 18

Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

Malam ke 19

Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam syurga firdaus.

Malam ke 20

Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Malam ke 21

Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

Malam ke 22

la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

Malam ke 23

Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

Malam ke 24

Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam ke 25

Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

Malam ke 26

Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam ke 27

Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

Malam ke 28

Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

Malam ke 29

Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

Malam ke 30

Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumiah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.


Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Sumber: Soaljawab agama. (Klik Sini)

Thursday, August 20, 2009

Erti Ramadhan Bagi Umat Islam

Ramadhan 1430H telah menjelma di hati umat Islam samada di Malaysia ataupun seluruh dunia. Bagi orang yang kaya berpuasa bagi mereka ialah mengikut cara mereka manakala orang yang sederhana dengan cara sederhana tetapi bagi yang faqir miskin berpuasa mereka tidak sama dengan orang yang kaya atau yang sederhana. Tatkala umat Islam di Malaysia sedang bersedia untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak terdetik di hati kita bagaimanakah gayanya orang faqir dan miskin di Malaysia ini berpuasa. Adakah mereka itu dapat bersahur ke atau bagaimana dengan lauk-pauk untuk mereka berbuka puasa adakah dengan ayam percik, ayam golek, air soya dan sebagaimananya sepertimana juadah- juadah yang kita lihat di bazaar Ramadhan.

Itulah gayanya berpuasa di malaysia. Belum lagi kita melihat dengan lebih jauh lagi keadaan puasa saudara satu syahadah dengan kita yang sama-sama bertuhankan Allah yang maha Esa tetapi nasib mereka tidak sama. Sewaktu kita semua dapat berbuka puasa mereka sibuk untuk mencari tempat perlindungan daripada menjadi mangsa serangan luar. Kita di Malaysia tidak merasa itu semua kerana alhamdulillah kita semua mendapat perlindungan dari Allah taala tetapi apa salahnya jika kita diam dan berfikir sejenak bagaimanakah keadaan saudara kita yang lain.


Friday, August 14, 2009

Undang-Undang Seluruh Dunia Yang Perlu Kita Ketahui

Pelik, pelik dan pelik..Kenapa la ada undang-undang yang pelik kat dunia nie..Leh tak kamu semua bagi pandangan masing-masing tentang fakta di bawah ni..


THAILAND :
* Dilarang keluar rumah tanpa memakai seluar dalam.

SWISS :
* Dilarang berkebun di hari minggu.

SWEDIA :
* Dilarang mengecat rumah tanpa izin dari kerajaan dan harus menggunakan cat yang sudah mendapat sertifikasi dari mereka.

KOREA SELATAN :
* polis wajib melaporkan jumlah wang rasuah yang mereka terima dari para pemandu yang ditahan.

SINGAPURA :
* Dilarang berjalan (bogel)
* Tidak flusk jamban setelah buang air di toilet, dikenakan denda.

UNITED KINGDOM :
* Dilarang menjual sayuran di hari minggu .
* Wanita dilarang makan coklat di tempat umum.

MEXICO :
* Wanita yang bekerja dilarang mengenakan pakaian seksi yang dapat “memprovokasi” rakan kerja selama jam kerja.
* Dilarang memaki di tempat umum.

AUSTRALIA :
* Dilarang mengangkat telepon pada deringan pertama.
* Dilarang mengenakan spenda Hot Pink di hari minggu.

YUNANI :
* Dilarang mengenakan topi di stadium , kerana dapat mengganggu pandangan orang lain.

KANADA :
* Dilarang menempel plester luka di tempat umum.
* Dilarang menyirami tananam di kebun waktu sedang hujan.
* Dilarang memanjat pokok.

PERANCIS :
* Dilarang berciuman di keretapi bawah tanah.ISRAEL :
* Dilarang memelihara babi di Israel . Orang yang melakukannya akan ditembak mati.

AMERIKA :-- ARIZONA :
* Dilarang memandu tanpa kasut.
* Dilarang bermain domino di hari Minggu.
* Dilarang memakai kumis palsu di gereja.
* Hukuman mati dikena bagi sesiapapun yang menaburkan garam di atas rel kereta api.
* Dilarang memandu dengan mata tertutup.-

ALASKA :
* Dilarang mengambil gambar beruang yang sedang tidur.
* Dilarang memberi minum bir pada rusa.
* Dilarang berjalan-jalan sambil membawa busur dan anak panah.-

ARKANSAS :
* suami diizinkan memukul isterinya, tapi tidak boleh lebih dari 1 kali sebulan.
* Dilarang memelihara buaya di dalam bathtub.
* wanita yang saling menggoda di tepi jalan, akan dikenakan 30 hari penjara.
* Dilarang membawa lembu berjalan-jalan di jalan utama di hari Minggu.-

CALIFORNIA :
* Binatang peliharaan dilarang dibiarkan berhubungan seks di sekitar lokasi sekolah, taman, dan tempat ibadah.

COLORADO :
* Dilarang berdebat dengan polis, kecuali kenderaan Anda ditahan olehnya.-

CONNECTICUT
* Dilarang mencium istrinya di hari Minggu.

FLORIDA :
* Dilarang bernyanyi di depan umum sambil mengenakan pakaian renang.
* Dilarang kentut di tempat umum setelah pukul 6 .
* Dilarang memecahkan piring dan gelas lebih dari 3 buah sehari.

WASHINGTON :
* Dilarang menyusui anak di tempat awam.

MALAYSIA
* Motosikal wajib memasang lampu pada waktu siang

Thursday, August 13, 2009

Asri Rabbani "Pergi Tak Kembali"

Kuala Lumpur, 13 Ogos 2009

Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.
Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital berkenaan.

Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital swasta itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambah anggota Rabbani itu. Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.


Difahamkan, jenazah beliau akan dibawa Bukit Lancong dekat Shah Alam selepas ini. Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi.Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.Penyanyi lagu 'Pergi tak kembali' lahir pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor dan menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota. Beliau sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni.Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nada Murni.


Semalam saya baru baca nasihat Ustaz Asri di akhbar :
Ustaz Asri juga menjelaskan sebagai seorang yang beragama Islam, tidak kira seseorang itu selebriti atau tidak, kita haruslah sentiasa berpegang kembali kepada ajaran Allah s.w.t.

“Dalam kehidupan kita, biar apapun terjadi yang penting kita harus berpegang teguh pada ajaran agama kita. Jika ada masalah, kita harus selesaikan mengikut ajaran agama kita.

“Ini saya lihat kebanyakan mereka selesaikan masalah mengikut nafsu, ikut cara syaitan. Kita banyak dengar kes artis kahwin dan cerai, kita kena tengok pada diri kita juga samaada kita rajin sembahyang atau tidak.

“Kalau kita rajin sembahyang, Insya-Allah semua masalah dalam rumah tangga dapat diselesaikan. Kita jangan terlalu ikutkan nafsu, yang paling penting kita harus kembali kepada Allah s.w.t,” jelasnya lagi.

Hati-hati - Doa hindar H1N1 yg sesat





Soalan:
Assalamualaikum Ustaz,

Dalam kerisauan penularan wabak pandemik H1N1 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia mutakhir ini, banyak email yang saya dapat berkenaan doa-doa yang boleh diamalkan untuk menghindarinya. Salah satunya termasuklah seperti yang saya lampirkan.

Mohon pendapat ustaz berkenaan doa tersebut. Adakah boleh kita mengamalkannya? Ada yang menganggap ianya dari syiah. Mohon penjelasan.

Terima kasih,

Syukor,Kuala Lumpur


Jawapan:
Waalaikumsalam...

Selepas meneliti kandungan risalah yg dilampirkan, saya dapati ada banyak keraguan dari sudut kenyataan, kandungan dan matan doa itu sendiri.

Antaranya adalah seperti berikut :

1. Status Syeikh Ibnu Ahmad At-Tamimi Al-Malizi yang dikatakan Murshid. Tidak pernah saya terbaca dalam mana-mana kitab himpunan ulama'-ulama' tanahair ada ulama yang dikenali dengan nama tersebut.

2. Di bawah risalah tersebut dinyatakan, disediakan oleh ustaz Thalut @ Muhammad Adeeb Sakiran, Bahagaian Dakwah Bebas JAIS, kategori D1, D2 & D3, beserta no rujukan fail dan no HP.

Untuk pengetahuan tuan, ada banyak keraguan di sini :

i. Tidak wujud pegawai dengan nama tersebut bertugas di Bahagian Dakwah JAIS.

ii. Tidak wujud yang dinamakan "Bahagian Dakwah Bebas" JAIS

iii. D1, D2, & D3.. setahu saya ia adalah kod bagi kategori kad tauliah mengajar. Jadi, apa kaitan dengan bahagian dakwah JAIS yang dinyatakan.

iv. No HP yang tertera telah cuba dihubungi, tapi tidak diangkat.

3. Matan doa yang di tulis juga mempunyai banyak keraguan.

i. Dari sudut maknanya, ia seolah-olah bukan doa yang dipohon kepada Allah, tetapi tawassul yang dipohon kepada manusia. Ulama bersepakat bahawa haram bertawassul dengan memohon kepada makhluk. Yang dibolehkan adalah tawassul dengan kemuliaan dan keberkatan orang soleh dan hajat tetap dipohon kepada Allah.

ii. Doa tersebut jelas tidak mengandungi perkataan dalam bentuk apa-apa doa, permintaan hajat kepada Allah. Hanya sekadar tawassul kepada 5 orang yg disebutkan dalam matan ayat tersebut.

4. Saya mengandaikan, ini adalah surat berantai yang disebarkan oleh individu tertentu dan tidak mempunyai apa-apa sandaran nas juga tidak warid (bersambung) dari Rasulullah SAW.

Oleh itu, abaikan sahaja dan wajib kita hindari apa2 amalan yg tiada sandaran nas daripada al-Quran dan al-hadith.Sekian.Wallahu a'lam bis sowab.

Ustaz Mohd Farid Mohd Zainal
Naib Ketua Pemuda DPPK Kapar
http://syababkapar.blogspot.com